Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman


Selasa, 17 Januari 2012

Membentuk akhak remaja

ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam
kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak
peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang
mengalaminya.
Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai
insan yang berguna.

Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak agama hendaklah
disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya
dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.

Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan
negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin
pada masa akan datang.

Tuhan selalu berfirman kepada para nabi dan rasul yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk
menjadikannya manusia yang beriman.

Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh
dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan
negara.

Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak
remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.

Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah
seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran
dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan
sebagainya.

Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa
faktor.

Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media
cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi
terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak
mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.

Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu
bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan
sebaya.

Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu
gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan
sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah
remaja.

1. Peranan Ibu bapa

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri
kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim
ayat 6).

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak
amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana
mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah:

- Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan
ajaran Islam sebenar.

Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama
kepada anak-anak.

Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang
baik sejak anak kecil.

- Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini
akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan
sesuatu perkara positif.

Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama
menerima ganjaran atau pujian.

- Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan,
membaca al-Quran dan bersukan.

Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu
bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

- Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau
isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak.
Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.

- Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak
walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan
berbeza antara satu sama lain.

2. Peranan Guru

Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan
mencontohi asas pendidikan dilakukan oleh pemimpin agama dahulu.



Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:

- Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku
guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi
ikutan.

- Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup
berkorban masa dan tenaga.

- Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan
sebagai 'role model' kepada pelajar.

- Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan
berakhlak yang sebenar-benarnya.

- Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan
Rabbani.



3. Peranan Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling
berpengaruh dalam kehidupan mereka.

Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling
diterima.

Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan
berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.

Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi
remaja lain.

Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan
syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.

Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan
ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah
dan juga ibu bapa.



4. Peranan Anggota Masyarakat


Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:

- Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan
peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak
pembangunan negara pada masa akan datang.

- Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih
belia remaja aktif dalam berpersatuan.

Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan
masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja
yang tidak berfaedah.

- Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam
sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya
anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain
serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia
mengasihi anaknya sendiri.

- Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau
perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain)
supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan
dengan berkesan.

- Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat
untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan
pekerja mereka.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan,
kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain.

Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial
di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan
petunjuk daripada Allah.

Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan
dan kemurnian akhlak seseorang.

Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga
Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan
Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad)
tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih
(supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang
lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah
Al-Qasas, ayat 56).

Share this topic on Facebook

Lagu Harga remaja

Harga Remaja
Berapa kah sebenarnya harga remaja
yang bersih dari gelodak kecewa ?
Berapakah sebenarnya harga remaja
bagai kehijauan pohon di perjalanan ?
Dengan apakah akan kau penuhi piala remajamu?
Adakah cuka kesangsian dari cinta murah
atau madu ajaran dari ilmu susah?
Remaja amat mahal sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
Remaja amat mahal sesungguhnya
harga remaja pendirian, keberanian.
Posted by Ahmad Ramli at 12:25 PM

Rasuah jejas ekonomi negara

PEKAN, 23 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jenayah rasuah dan masalah ketirisan bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan kerajaan tetapi juga akan turut memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata kerajaan terpaksa melakukan tindakan drastik untuk membendung jenayah rasuah dan masalah ketirisan bagi memastikan ia tidak menjejaskan hasil dan pendapatan negara.

Beliau berharap rakyat memahami bahawa sebarang tindakan yang diambil kerajaan seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini berhubung tangkapan berkaitan rasuah adalah bertujuan untuk menangani ketirisan yang berlaku.

“Ia (tindakan itu) tidak ada lain tujuan melainkan untuk menambah hasil negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Pahang di sini, Sabtu.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor menahan 60 anggota dan pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di seluruh negara untuk siasatan berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Najib berkata semua pihak perlu sedar bahawa bukan soal kerajaan tidak mahu menambahkan projek pembangunan yang boleh memberi kerja tambahan kepada kontraktor tetapi kemahuan dan keinginan mestilah berpaksi kepada kemampuan kewangan negara.

“Ini berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi negara dan kebolehan kita mengutip hasil tambahan. Kalau kita tidak dapat kutip hasil tambahan kerana berlaku ketirisan yang berluasa, maka itu juga akan menjejaskan hasil dan pendapatan kerajaan.

“Misalnya, kalau banyak orang mengelat daripada membayar cukai yang menjadi punca kewangan kerajaan, kalau ada orang eksport dan import barang tetapi tipu harga dan melakukan apa yang disebutkan ‘under declaration’, maka ia merupakan kekurangan kewangan kepada kerajaan.

“Sehubungan itu, kita mesti fahami bahawa kalau kita hendak lebih banyak projek pembangunan, maka semua orang mesti memainkan peranan masing-masing, iaitu yang mengurus ekonomi negara kena mengurus dengan baik dan yang kena bayar cukai mesti ikut ketetapan yang patut ditunaikan mereka,” katanya.

Najib berkata beliau akan menjadi orang yang paling gembira jika hasil negara dapat dipertingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion atau RM70 bilion.

“Kalau ekonomi negara kita, pertumbuhannya pada kadar yang tinggi, maka kita dapat mencari sumber kewangan dan hasil yang boleh menjadi sumber yang boleh digunakan untuk kita mengagih dalam bentuk projek pembangunan tambahan yang akan merangsangkan lagi sektor pembinaan kita.

“Sebaliknya kalau ekonomi negara kita tidak berkembang dan hasil tidak bertambah, maka kerajaan akan menghadapi keadaan yang sukar untuk menambah peruntukan bagi projek pembangunan yang boleh menjadi sumber kepada kontraktor,” katanya.

Sumber : Bernama

Kedai 1Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Kerajaan akan memperluaskan cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) secara berperingkat-peringkat bermula dengan Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya kini bukan sahaja sedang mengenal pasti lokasi-lokasi yang bersesuaian malahan turut memberi fokus untuk mewujudkan rak khas bagi memastikan produk 1Malaysia dijual di kawasan flat.

“Kita tengah mencari lokasi tetapi kita juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai kedai-kedai yang boleh menjual produk 1Malaysia. Tidak semestinya kita buka kedai baru.

“Sekarang kita tengah kumpulkan kedai di Wilayah Persekutuan dulu, mungkin di flat-flat. Kita mungkin wujudkan satu rak khas untuk menjual produk 1Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Pra-Pelancaran Bulan Pengguna Kebangsaan 2011 di KL Sentral, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Kepenggunaan dan Pengurusan) Mahani Tan Abdullah.

Bulan Pengguna Kebangsaan 2011 selama sebulan bermula 1 Julai ini melibatkan yang melibatkan 251 program di peringkat pusat dan negeri. Acara kemuncak sambutan adalah Bulan Pengguna Kebangsaan pada 23 dan 24 Julai ini di Manjung, Perak.

Tahun ini merupakan tahun kedua sambutan Bulan Pengguna selama sebulan sejak ia diperkenalkan pada 2001. Tema sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan pada tahun ini ialah “Hak Pengguna Tanggungjawab Anda”.

Kedai Rakyat 1Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lepas di Stesen LRT Kelana Jaya. Kedai berkenaan yang diuruskan oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama kerajaan menawarkan lebih 250 barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata penyelarasan caj yang dilakukan oleh Astro bukan berada di bawah tanggungjawab beliau tetapi berada di bawah kuasa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya hanya boleh memberi nasihat kepada pengguna di negara ini kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dalam memilih sesuatu produk dan perkhidmatan.

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut kuasa kementerian lain. Kita masih ada pilihan, ada pakej (Astro) murah dan ada mahal, jadi pengguna ada pilihan,” katanya sambil menambah Astro tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau turut berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana persatuan pengguna di negara ini sekiranya mereka ingin memboikot menentang penyelarasan caj berkenaan.

Astro baru-baru ini mengumumkan akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini, dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ismail Sabri berkata kajian yang dijalankan oleh kementeriannya mendapati tahap kesedaran pengguna masih rendah di negara ini.

“Ini kerana sebahagian besar pengguna mengetahui hak mereka tetapi mereka sering lupa atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengguna,” katanya.

Beliau berkata peredaran masa dan kemajuan teknologi telah mendedahkan pengguna kepada pelbagai cabaran termasuklah transaksi perniagaan dalam talian yang semakin berkembang.

Sumber : Bernama

Jenayah Rasuah

Jenayah rasuah akan diperangi habis-habisan

KUALA LUMPUR 12 April - Kerajaan cukup yakin bahawa jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini mampu diperangi habis-habisan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada pelbagai usaha yang sudah dan bakal dilaksanakan kerajaan bagi menangani jenayah tersebut di segenap peringkat dalam pelbagai sektor sama ada awam mahu pun swasta.

Katanya, antara langkah yang telah dilaksanakan adalah menubuhkan Unit Pematuhan; mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah; mewujudkan Akta Perlindungan Saksi serta menyenarai usaha memerangi rasuah dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Segala inisiatif ini telah meletakkan Malaysia pada landasan yang betul dalam usaha kita untuk memerangi jenayah rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

"Ini tentu sekali akan meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia untuk bebas daripada amalan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup pertandingan pidato Piala Menteri Pelajaran antara Institut Pendidikan Guru (IPG) anjuran Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pada majlis itu, penuntut dari IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Faizal Sanek muncul johan dan sekali gus, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sijil serta piala.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengakui segala inisiatif yang dilaksanakan kerajaan tidak akan membawa kejayaan seperti diharapkan jika, tidak mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

Oleh itu jelas beliau, gerakan bagi memantapkan pembudayaan integriti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan terancang bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat kepimpinan atas dalam setiap sektor di negara ini.

Isnin, 16 Januari 2012

Membuat Lawatan-apa yang perlu dibuat

Langkah-langkah untuk membuat lawatan dan amalan keselamatan

1. Mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada Pengetua, ibu bapa, dan PPD. Membuat salinan untuk difailkan dan salinan asal dibawa semasa lawatan.
2. Mendapatkan nombor telefon ibu bapa supaya senang dihubungi bila berlaku kecemasan
3. memastikan bas mempunyai insuran penumpang, permit perjalanan, lesen pemandu bas sesuai, dan dua orang pemandu yang cekap serta berhemah untuk melakukan perjalanan yang melebihi 300 km,
4. memastikan sekurang-kurangnya seorang guru pengiring telah mendapat latihan pertolongan cemas, jurulatih bertauliah, membawa peti pertolongan cemas yang lengkap.
5. memastikan insuran berkumpulan telah diambil untuk pelajar
6. Menentukan seorang guru pengiring ditugaskan untuk sekumpulan sepuluh orang pelajar.
7. Membahagi pelajar kepada lima orang dalam satu kumpulan dan melantik seorang ketua bagi setiap kumpulan untuk menjaga kebajikan setiap ahli kumpulan disepanjang lawatan.
8. Mengingatkan pelajar supaya membawa barang-barang berharga dan kemera bersama setiap kali turun dari bas.
9. Memberi taklimat kepada pelajar tentang keselamatan sebelum lawatan:
- bergerak dalam kumpulan sepanjang lawatan
- memakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti tertentu seperti mendaki bukit, melawat gua dan lain-lain;
- Memakai jaket keselamatan sewaktu aktiviti menaiki bot atau feri
- Mencatat nombor bas, nama pemandu dan telefonnya, nombor telefon guru pengiring

Panitia PM

Pembelajarana Luar Bilik Darjah-PLBD

Pengertian PLBD
Pembelajaran Luar Bilik Darjah adalah suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti ini berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokog dan mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah. Ia juga merangkumi persekitaran pembelajaran yang progresif.

Objektif
1. Mengukuhkan kefahaman murid terhadap konsep yang dipelajari dalam kelas.
2. memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang sebenar, bermakna dan menyeronokkan,
3. Mengembangkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan
4. Meningkatkan minat murid untuk belajar
5. Mengintegrasikan pelbagai disiplin ilmu dalam satu masa.

Model PLBD

1. LUAR BILIK DARJAH DALAM KAWASAN SEKOLAH
2. BERHASMPIRAN KAWASAN SEKOLAH
3. JAUH DARI KAWASAN SEKOLAH-DENGAN KEBENARAN PPD DAN PENGETUA SEKOLAH/ GURU BESAR.

PERSEDIAAN GURU/PELAJAR
1. Sebelum
2. Semasa
3. Selepas

Melawat sungai berhampiran sekolah
sebelum
-pralawatan utk guru
-perbincangan-kegunaan dan kepentingan sungai(bidang alam sekitar)
-sumbangsaran-punca-punca, masalah pencemaran air sungai

semasa
-memerhati kesan kegiatan ekonomi di kawasan itu
-mengambil sampel air sungai
-mengambil foto dll

selepas
-menjalankan uji kaji sampel air sungai--ada kaitan dengan sains/geografi
-mencadangkan langkah-langkah mengatasi pencemaran-jika ada
-menulis laporan-pentadbir sekolah/ ppd/jpn dan pegawai daerah
-membuat buku skrap dengan mengumpul bahan dari keratan akhbar

selamat mencuba