Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman


Selasa, 3 Februari 2009

Kepentingan menjaga alam sekitar

SELAKU PEGAWAI DI JABATAN ALAM SEKITAR, ANDA TELAH DIJEMPUT UNTUK MENYAMPAIKAN UCAPAN DAN MERASMIKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN KAWASAN PERUMAHAN. DALAM UCAPAN TERSEBUT ANDA TELAH MENEKANKAN PERI PENTINGNYA MENJAGA KEBERSIHAN ALAM SEKITAR.
TEKS UCAPAN PEGAWAI JABATAN ALAM SEKITAR.
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan. Yang Berbahagia Datuk/Datin, tuan/ Puan Yang Dipertua Majlis Bandaran Kota Kinabalu, Sabah, Yang Berbahagia Pengerusi Majlis Musyawarah Penduduk Taman…… dan seterusnya tuan-tuan dan puan- puan yang dihormati.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan pada majlis yang sangat penting kepada kita ini. Peluang keemasan saya ambil untuk membincangkan dan mengupas isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar. Walaupun isu ini agak usang dan basi oleh sesetengah pihak, namun saya berpendapat isu ini amat penting dalam proses kelangsungan hidup kita,
Hadirin sekalian,
Mafhum daripada sepotong hadis yang menyatakan, ”Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman” . Hal ini menunjukkan bahawa amalan kebersihan amat dituntut di sisi agama. Konsep kebersihan hendaklah ditafsirkan dalam ruang lingkup yang lebih luas, meliputi kebersihan hati dan jiwa raga, kebersihan tempat tinggal dan makan minum, serta kebersihan alam sekitar secara sejagat. Justeru itu, memang menjadi tanggungjawab utama kita berpegang pada prinsip bersih dan mengamalkannya secara bijaksana dan tuntas.
Menurut statistik Syarikat Alam Flora, iaitu syarikat yang mendapat konsesi untuk melupuskan sampah sarap di bandar raya Kuala Lumpur, setiap rakyat Malaysia menyumbangkan 1.9 kilogram sampah dalam sehari. Bayangkanlah berapa tankah sampah yang kini sedang membanjiri seluruh permukaan bumi negara kita ?. Fenomena ini sebenarnya menuntut komitmen yang jitu daripada kita agar menjadikan masalah sampah sarap sebagai agenda nasional dan perlu ditangani secara profesional.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tujuan utama kita menjaga kebersihan adalah untuk memperoleh kesihatan yang sempurna ,menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup. Sesungguhnya, kesihatan adalah harta dan modal yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apa jua material yang lain. Sepatutnya kita hendaklah bersikap lebih positif terhadap penjagaan kesihatan dengan memastikan persekitaran kita bebas daripada pencemaran. Serangan wabak Cocksackie B, Japanese Encephalitis, dan demam denggi yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita supaya tidak mengambil sikap endah tak endah terhadap amalan kebersihan. Ingatlah pada pesanan peribahasa, “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”, dan “sudah terhantuk baru tengadah”.
Hadirin sekalian,
Selain itu, imej negara juga akan tercemar apabila hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan tidak diberikan tumpuan. Dalam usaha kita mengangkat martabat negara di peringkat internasional dan memajukan industri pelancongan, maka kebersihan, keharmonian, dan keindahan alam sekitar perlu dijadikan agenda utama. Sekarang sektor pelancongan merupakan penyumbang ketiga ekonomi negara selepas petroleum dan barangan industri, iaitu bernilai RM20 bilion. Sebenarnya, kunjungan pelancong luar ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan alam dan budaya kita yang unik. Oleh yang demikian, kita tidak sewajarnya, bersikap “lontar batu sembunyi tangan” dalam hal yang berkaitan dengan kebersihan apabila tidak memberikan apa-apa sumbangan untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih. Tidak guna kita bersikap hipokrit sekadar menyapu sampah ke bawah tikar dengan memperindah kawasan-kawasan tertentu sedangkan di tempat-tempat yang tersorok amalan kebersihan tidak dipedulikan.
Sidang majlis yang dihormati,
Masa yang sangat berharga ini, saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan agar sama-sama berganding bahu menjaga imej negara dengan imej bersih, sihat dan ceria. Sumber-sumber alam anugerah Tuhan, janganlah dimusnahkan secara membujur lalu melintang patah. Hutan dan sungai hendaklah dimanfaatkan, sebaliknya bukan dikhianati. Justeru, aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh Majlis Musyawarah Rakyat taman ini amatlah dipuji dan patut diteladani oleh para penduduk di kawasan lain. Ingatlah alam ini bukanlah milik kita sepanjang zaman, kita hanya meminjamnya dari Dia Yang Maha Kuasa dan kita wariskan pula kepada generasi akan datang. Sesungguhnya, saya dengan besar hati penuh sukacita merasmikan program gotong-royong pada hari ini dengan lafaz………..Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: