Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman


Jumaat, 9 Mei 2014

Isu-isu Pendidikan Global

Isu-Isu Pendidikan Global Dewasa ini terdapat pelbagai isu mengenai pendidikan di dunia. Isu-isu itu meliputi masukan (input)pendidikan, proses pendidikan (throughput), dan keluaran/produk (output) pendidikan.Pertama ialah berkaitan dengan masukan/input pendidikan. Pada amnya masukan pendidikan berkait dengan tiga komponen utama: ilmu, kemahiran dan nilai. Namun, apa yang ketara sekali ialah bahawa ilmu (maklumat) telah bercambah dengan hebat hingga menyebabkan kurikulum pendidikan menjadi padat dan sendat. Kemahiran-kemahiran juga telah berkembang dan bercapah, termasuk kemahiran-kemahiran terkini hingga membolehkan para pelajar .Sesungguhnya di mana-mana negara sahaja terdapat keghairahan untuk membangunkan modal insan dengantujuan untuk membangun dan memajukan ekonomi. Kedua-duanya, ilmu (maklumat) dan kemahiran serta ketrampilan, merupakan ciri-ciri utama modal insan. Sehubungan itu sistem pendidikan telah digunakan sepenuhnya untuk menjayakan matlamat tersebut. Namun apa yang telah menjadi semakin terpinggir, terabai, malahan tersingkir ialah komponen nilai. Nilai yang dimaksudkan di sini merujuk kepada nilai-nilai moral/akhlak kerana nilai-nilai intrinsik setiap subjek itu masih kekal. Pada hakikatnya nilai merupakan komponen yang sangat penting dan crucial dalam usaha membina jati diri, keperibadian dan perwatakan bangsa. Sehubungan itu E.F.Schumaker (1987:8) menegaskan: “The essence of education is the transmission of values, but values do not help us to pick our way through life unless they have become our own, so to say, of our mental make-up.” Nilai memang telah dikesampingkan dalam pendidikan moden kerana apa yang dikatakan ilmu (ilmu-ilmumoden) tertakluk kepada empat nilai tara: rasional, objektif, saintifik, dan bebas nilai (value-free). Justeru itu bukan sahaja sains tulen dan sains gunaan, malahan sains sosial dan sains kemanusiaan tertakluk kepada nilai tara ini. Akibatnya, betapa lamapun seseorang itu belajar, betapa banyakpun ilmu/maklumat yang diperolehi, betapa luas dan kemahiran-kemahiran yang dikuasai, kesemuanya tidak menjurus kepada pemupukan dan penyuburan hati nurani dan kesedaran keinsanan. Kedua merujuk kepada proses pendidikan. Dalam hal ini Ivan Illich (1972:1) telah mengkritik dengan keras mengatakan bahawa pendidikan telah mengecut atau bertukar menjadi proses penyekolahan. Menurutnya: “The pupil is thereby „schooled‟ to confuse teaching with learning, grade advancement with education, a diploma with competence…His imagination is schooled to accept service in place of value..” Kenyataan Ivan Illich jelas menunjukkan bahawa yang penting anak-anak telah dihantar ke sekolah, telah meningkat dari satu gred ke gred berikutnya, dan telah tamat sekolah, namun mereka masih tidak terdidik. Pendek kata yang berlaku ialah penyekolahan, bukan pendidikan. Akibatnya ramai yang belajar dan mendapat pelajaran, dan mereka mungkin telah menjadi celik huruf dan celik angka serta boleh membaca dan boleh menulis, namun mereka masih belum menjadi celik akal dan celik budaya, dan lebih-lebih lagi mereka belum menjadi celik hati. Ketiga ialah berkaitan dengan produk pendidikan. Bagaimanakah rupa bentuk manusia yang dihasilkan dari sistem seumpama ini? Berhubung isu ini Brenda Watson (1987:1) dari Universiti Oxford menegaskan: Sekolah dan universiti melahirkan „penyangak berilmu‟ (knowledgeable barbarians) . Manakala presiden Universiti John Hopkins (USA) pula merujuk produk tersebut sebagai „penyangak berketrampilan‟ (skilled barbarians) (Huston Smith,1982:164). Kedua-dua kritikan ini dianggap melampau, namun jika dilihat kepada permasalahan dan bencana yang sedang menimpa kehidupan manusia kini, terdapat kebenaran di dalam kedua-dua kenyataan tersebut. Walaupun seseorang itu telah memiliki ilmu/maklumat yang banyak dan pelbagai kemahiran, namun kelemahan yang paling ketara sekali ialah kekurangan atau ketiadaan kebijaksanaan (wisdom). Menurut Mortimer J. Adler (1985) ilmu pengetahuan bukanlah barangan intelektual yang terbaik kerana yang lebih tinggi lagi nilainya ialah pemahaman dan, selepas itu pula hikmah. Selain itu, Nicholas Maxwell (1984) pula mengkritik dengan keras apa yang diungkapkannya sebagai „bencana intelektual‟ akibat daripada kemajuan ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang ketandusan nilai dan merosakkan. Beliau menegaskan manusia perlu beranjak daripada ilmu kepada hikmah. Pada hakikatnya maklumat/informasi dan ilmu itu bukan hikmah. Hikmah merujuk kepada kegunaan maklumat dan ilmu secara bermanfaat. Hikmah ialah maklumat dan ilmu yang diresapi oleh tujuan-tujuan dan prinsipprinsip yang tinggi dan mulia. Hikmah juga menurut Shaykh Muhammad al-Ghazzali (1994:134) meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya

Tiada ulasan: