Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman


Isnin, 16 Januari 2012

PLKN Capai matlamat

Minda: PLKN capai matlamat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula pada 2004 dengan mengambil 80,000 peserta dari seluruh negara pada ketika itu. Dari setahun ke setahun, peserta meningkat dan berdasarkan statistik, pada 2011, 140,000 peserta terpilih mengikuti program ini.

Daripada 140,000 peserta tahun ini, 60 peratus daripadanya adalah Bumiputera, 28 peratus (Cina), 10 peratus (India) dan lain-lain 2 peratus. Sementara itu, daripada jumlah keseluruhan, 55 peratus adalah lelaki dan 45 peratus perempuan.


Sejak 2004 hingga kini, bermakna usia PLKN semakin matang dan sedang menuju kejayaan yang diimpikan. PLKN masih berjalan sampai kini dengan penambahbaikan segenap aspek untuk mencapai matlamatnya. Pada peringkat awal penubuhan, walaupun pelbagai pandangan diterima dan persediaan sudah dilakukan dengan teliti, pelbagai rungutan dan kritikan dilemparkan terhadap program ini.

Kes-kes yang berlaku semasa golongan ini menjalani latihan menjadikan sesetengah pihak menuding jari merendah-rendahkan keupayaan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) lalu meminta program ini dikaji semula dan ada pihak menggesa agar ia dihentikan saja. Bagaimanapun, sekarang program ini sudah sebati dengan remaja sehingga ada yang menawarkan diri untuk menyertainya secara sukarela setelah tidak terpilih. Secara tidak langsung kita dapat memahami bahawa program ini sudah mula diyakini keberkesanannya bukan hanya oleh peserta malah ibu bapa atau penjaga.


Menurut statistik, pada 2007, 651 permohonan sukarela diterima untuk menyertai program ini. Lantaran itu, bermula tahun sama, JLKN membuka peluang kepada remaja yang tidak terpilih pada tahun itu untuk menyertai program tersebut dalam kumpulan kedua dan ketiga. Beberapa modul yang diperkenalkan kepada peserta sebelum ini seperti Modul Fizikal, Pembinaan Karakter, Kenegaraan dan Khidmat Komuniti telah menyumbang kesan positif terutama daripada aspek perpaduan kaum, kemasyarakatan dan semangat cinta negara. Akhirnya, kita dapati JLKN sudah mengumumkan akan mewujudkan pula satu modul baru iaitu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) bermula dalam program Mei depan.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, modul baru ini tidak berkaitan dengan pendidikan seks sebaliknya menekankan pelatih mengenai permasalahan masyarakat terutama golongan remaja yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
PLKN melalui pelbagai masalah sejak awal penubuhannya sampai kini. Hingga kini masih ada suara tidak berpuas hati dengan perjalanan dan bentuk latihan yang diberikan, termasuk masa yang diperuntukkan sangat singkat.


Maka ramai juga yang memberi pendapat bahawa tempoh masa latihan program ini perlu dilanjutkan menjadi dua tahun seperti dilakukan di Singapura dan Korea Selatan.

Menurut mereka, tempoh singkat tidak akan dapat mencapai hasrat atau matlamat sebenar PLKN untuk memberi pendedahan mengenai pelbagai aspek yang telah ditetapkan untuk golongan remaja dalam menghadapi pelbagai cabaran apabila mereka berada di luar kelak.


Dalam pada itu, kita tidak boleh menolak kesan positif dan keberkesanan PLKN berdasarkan pengalaman dan kajian terhadap mereka yang pernah menyertainya dan ibu bapa bagi anak-anak mereka yang terbabit secara langsung. Contohnya, 90 peratus daripada peserta kumpulan terakhir program ini pada 2006 menganggap program dalam PLKN menyeronokkan, mereka mendakwa memperoleh ilmu dan pengalaman baru serta dapat memupuk perpaduan kaum. Di samping itu, mereka juga lebih mencintai negara, mempunyai sikap suka menolong dan lebih bertanggungjawab.


Bekas pelatih PLKN juga telah diserap ke dalam kerja-kerja sosial seperti dilakukan ketika banjir melanda Johor pada 2007. Jelas di sini, apa yang mereka pelajari dan praktikkan ketika berada dalam PLKN boleh dibawa keluar dan tenaga mereka boleh dimanfaatkan untuk kepentingan orang ramai.


Sehubungan itu, dirasakan semua pihak termasuk ibu bapa mesti memberi sokongan padu kepada PLKN. Sebarang keraguan terhadap program berkenaan mestilah dihindarkan.


Akhir-akhir ini, kita tidak mendengar lagi masalah serius dalam PLKN. Tidak kedengaran kes peserta yang terpilih sengaja mengelak daripada menyertai program ini. Ini kerana program ini terbukti memberi faedah berguna kepada remaja kerana pelbagai modul disediakan ternyata dapat membentuk sahsiah mereka.


Kita mesti memahami bahawa pengurusan PLKN juga sentiasa mencari kaedah dan jalan penyelesaian agar masalah sebelum ini tidak berulang dalam PLKN. Malah, kita mesti bersyukur kerana pelbagai kelonggaran diberikan kepada pelatih yang terpilih, tetapi mereka dibolehkan tidak menyertai program ini jika mereka mempunyai alasan kukuh. Oleh itu, masalah yang sudah berlaku sepanjang PLKN ditubuhkan tidak perlu dikenang lagi kerana di mana-mana pun masalah tetap berlaku.


Tidak perlu lagi ditoleh kepada kisah tragis yang pernah menimpa beberapa pelatih PLKN sebelum ini kerana jika di luar pun, pelbagai masalah lain boleh berlaku malah ada masalah lebih serius berbanding masalah yang pernah dialami ketika mereka menjalani program ini.


Yang pasti, sudah hampir 10 tahun program ini berlangsung, tetapi kita tidak pernah mendengar pelatih PLKN merempit, terlibat dengan dadah atau meragut sedangkan masalah ini kerap membelenggu dunia mereka.


Kita juga berharap pelbagai pihak dan pengurusan PLKN dapat memikirkan kaedah lain atau modul baru dari semasa ke semasa untuk memastikan program ini lebih diyakini.

Tiada ulasan: