Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman


Jumaat, 13 Januari 2012

Remaja Merokok

Mengapa remaja merokok?
Merokok di usia lapan tahun?
Oleh Fairuz Zaidan



MASIH segar melekat di kotak memori bila mengenangkan perihal rokok di zaman kanak-kanak. Mana tidaknya, pada masa itu (dalam usia lapan tahun), penulis sudah disuruh ke kedai membeli sekotak rokok yang dikirimkan bapa saudara.

Pada masa itu, tidak ada halangan membeli rokok di bawah usia 18 tahun. Apa yang disukai ialah kerana mendapat sogokan imbuhan baki wang untuk membeli minuman berkarbonat atau keropok sebagai ‘sagu hati’.

Namun, keadaan jauh berbeza kini. Kerajaan kini tegas menyeka tabiat tidak sihat ini. Pelbagai kempen dilaksanakan, yang menceritakan keburukan merokok baik dari aspek kesihatan, ekonomi mahupun sosial - seperti kempen Tak Nak! yang menelan sehingga RM20 juta.

Malah, undang-undang juga diperkenalkan. Kanak-kanak bawah 18 tahun tidak lagi bebas membeli rokok, apatah lagi menghisap rokok. Jika ada, mereka akan ditangkap dan didenda sehingga RM1,000.

Bagaimanapun, jumlah perokok, khususnya kanak-kanak dan remaja semakin bertambah. Hari ini, kira-kira 20 peratus atau 1.2 juta perokok adalah remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun!

Malah, kira-kira 50 hingga 60 remaja bawah 18 tahun mula merokok setiap hari di negara ini. Malah, kajian mengenai remaja dan tembakau atau Global Youth Tobacco Survey (GYTS) pada 2003 menunjukkan bilangan perokok remaja semakin meningkat berbanding lapan peratus pada 1999.

Mengapa remaja merokok? Adakah kerana ingin mencuba, pengaruh keluarga atau rakan-rakan? Buatlah pelbagai kempen, ceritalah segala yang buruk mengenai kesan merokok, perkenalkanlah bermacam-macam undang-undang, naikkan lagi harga rokok, bilangan perokok tetap tidak berkurangan.

Banyak kajian yang dijalankan penyelidik tempatan dan antarabangsa menunjukkan kempen `menakut-nakutkan’ ini tidak mampu menakutkan remaja untuk merokok. Apatah lagi, harga rokok, sekalipun dinaikkan masih mampu dibeli remaja yang rata-rata mendapat wang saku daripada ibu bapa.

Apa pula ceritanya jika kanak-kanak berusia lapan tahun sudah pandai merokok? Kajian lima tahun (1999-2004) yang dijalankan Kementerian Kesihatan dan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati ada kanak-kanak berusia lapan tahun sudah pandai merokok.

Pegawai Penyelidik terbabit, Faris Irfan berkata, kajian itu menunjukkan 12.2 peratus responden yang berusia lapan tahun (daripada 164 responden) dan 14.7 peratus responden berusia 13 tahun (daripada 482 responden) melaporkan pernah merokok.

Kajian bertajuk Keberkesanan Program Jangka Panjang Intervensi Health Life In Children (HELIC) Ke Atas Tahap Pengetahuan Sikap dan Amalan Kanak-Kanak dan Remaja Tentang Bahaya Merokok itu dijalankan di dua sekolah rendah dan lapan sekolah menengah di Selangor, Pahang dan Kelantan.

“Peratusan amalan tabiat merokok di kalangan kanak-kanak berusia 13 tahun yang dikaji meningkat sebanyak dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun,” katanya yang turut mendedahkan responden lelaki merokok lebih tinggi berbanding perempuan kedua-dua peringkat umur.

Responden lelaki berusia 13 tahun didapati berisiko hampir enam kali ganda untuk merokok berbanding perempuan. Peratus ahli keluarga yang merokok juga tinggi terutamanya di kalangan bapa, abang dan datuk responden.

Namun, Faris berkata, faktor rakan yang merokok didapati memberi pengaruh paling kuat di kedua-dua sekolah rendah dan menengah.

Aktivis masyarakat merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kebanyakan remaja merokok kerana mengikut trend, yang kononnya melengkapi gaya hidup kebaratan.

“Dengan merokok, remaja mungkin merasai dirinya sudah dewasa dan berpeluang menonjolkan karakter diri,” katanya sambil menambah pengaruh negatif rakan sebaya adalah antara penyumbang tabiat merokok yang semakin menular di kalangan remaja.

Hasil kajian mengenai remaja dan tembakau atau Global Youth Tobacco

Survey (GYTS) pada 2003 menunjukkan enam daripada 10 remaja yang tidak

merokok berasakan tabiat merokok menjadikan gadis kelihatan lebih menarik dan perkara ini dipersetujui juga 17.4 peratus remaja merokok.

Kajian yang dijalankan Ketua Pendidikan Kesihatan, Hospital Serdang, Manimaran Krishnan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Penyakit Terkawal (CDC) itu juga menunjukkan 12.4 peratus remaja berhasrat untuk merokok kerana beranggapan merokok membuatkan penampilan lebih menarik dan ramai kawan.

Kajian itu membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tiga di 50 sekolah di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Promosi berterusan oleh pengeluar rokok juga antara punca menggalakkan remaja ingin merokok.

Kira-kira 71 peratus remaja berkata, mereka mengenali rokok melalui

iklan secara langsung dan tidak langsung dalam majalah dan surat khabar. Seramai 11.8 peratus remaja pula, berkata mereka diberikan rokok percuma oleh syarikat pengeluar rokok ketika promosi.

Hasil kajian ini membuktikan usaha untuk menghalang tabiat merokok di kalangan remaja nampaknya tidak banyak meninggalkan kesan.


Kesan merokok pada kesihatan
• Sakit kepala
Mengikut laporan, 90 peratus daripada masalah migrain berpunca
daripada tabiat merokok, pengambilan alkohol dan tekanan kerja.
• Organ dan tisu dalam badan
Asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia iaitu 200 beracun dan 63
bahan karsinogenik (boleh menyebabkan kanser). Ia boleh menjejaskan hampir semua organ dan tisu dalam badan.
• Tumbesaran bayi
Asap rokok yang beracun boleh mengganggu tumbesaran bayi dalam
kandungan dari segi mental dan fizikal.
• Kulit
Nikotin dan asap rokok boleh menjejaskan kesihatan dan kecantikan
kulit.
• Asma
Asap rokok dan bahan kimia tertentu dalam rokok boleh merangsang
serangan asma.
• Usia
Rokok boleh memendekkan jangka hidup seseorang. Secara purata di
Malaysia, purata jangka hayat lelaki ialah 65 tahun dan wanita pula 71 tahun.
• Barah
Perokok terdedah kepada 10 penyakit barah seperti barah paru-paru,
serviks, mulut, tekak, buah pinggang, serviks dan kolon. Amalan
merokok di negara ini menyumbang 10,000 kematian setahun iaitu 30
peratus disebabkan 10 jenis kanser terutama paru-paru.
• Jantung
Asap rokok dikenal pasti penyebab utama sakit jantung. Asap rokok
mempercepatkan pembekuan darah, menggalakkan pemendapan lemak pada
dinding jantung dan mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
• Kesuburan
Merokok bagi wanita boleh menjejaskan fungsi ovari dan pelekatan
janin pada dinding rahim.
• Kepintaran
Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok didapati mundur dalam
pelajaran berbanding rakan mereka yang membesar dalam persekitaran
lebih sihat dan bersih. Kajian di London membabitkan kanak-kanak
berusia enam tahun hingga 16 tahun mendapati mereka yang terdedah
dengan asap rokok bermasalah untuk membaca dan lemah dalam subjek
matematik.
• Mati pucuk
Perokok berisiko dua kali ganda mendapat ketidakupayaan ereksi (ED)
atau mati pucuk.
• Udara
Kajian menunjukkan tinggal serumah bersama perokok (yang tentu
merokok berkali-kali dalam rumah) dianggap 10 kali lebih berbahaya
daripada menghidu udara dalam suasana berjerebu.
• Nikotin
Bahan nikotin yang dihisap dari setiap batang rokok hanya mengambil
masa tujuh hingga 10 saat untuk merangsang sistem saraf ke otak dan

Tiada ulasan: